Tuesday, January 12, 2010

Ilmu Qiraat - Satu Pengenalan

QIRAAT AL-QURAN
PENGENALAN
Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat Melayu kerana ia tidak dimasyhurkan di negara kita, sedangkan ia berkembang luas pada zaman Rasulullah SAW. dan selepasnya. Sebenarnya ia bukan suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, bahkan Al-Quran yang dibaca sekarang adalah Qiraat, tetapi masyarakat kita tidak mengetahuinya. Sebagaimana Al-Quran dan Qiraat adalah suatu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan, begitu juga pada ilmu Tajwid. Ini bermakna Al-Quran itu adalah Qiraat dan Tajwid itu adalah Al-Quran. Maksudnya jika seseorang itu membaca Al-Quran tanpa bertajwid ia tidak dinamakan Al-Quran, juga tidak menjadi suatu ibadat, bahkan ia berdosa di sisi syarak.
Firman Allah SWT,
ِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا
"Bacalah Al-Quran dengan murattal (bertajwid dan menyebut hurufnya dengan baik)."(al-Muzammil: 4)
Penulisan ini bertujuan untuk mengemukakan kajian ringkas mengenai qiraat, sejarahnya dan pengamalan di kalangan umat Islam.
AL-QURAN DITURUNKAN TUJUH HURUF
Al-Quran adalah satu mukjizat yang tersebar dan teragung yang diturunkan dalam bahasa Arab dalam tujuh huruf. Banyak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat mengenai Al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf dan hadith tersebut adalah mutawatir, di antaranya yang berpendapat demikian ialah Abu ‘Ubayd al-Qasim bin Salam sebagaimana yang disebutkan oleh al-Suyuti di dalam kitabnya. Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Al-Quran ini diturunkan atas tujuh huruf, maka bacalah kamu mana yang mudah daripadanya.”(HR Bukhari dan Muslim).
Para ulama berbeza pendapat mengenai Al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf, iaitu:-
i. Ada pendapat yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan dalam tujuh bahasa dari tujuh bangsa selain bangsa Arab. Pendapat ini didasarkan wujudnya kalimat-kalimat yang bukan dari bahasa Arab dalam Al-Quran seperti ‘Sirat’ (Rome), ‘Istabraqen’ (Yunani), ‘Sijjil’(Parsi), ‘Haunaan’(Siryani).
ii. Pendapat yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh jenis qiraat (bacaan) tetapi pendapat ini adalah lemah.
iii. Pendapat ketiga menyatakan yang dimaksudkan tujuh huruf tersebut ialah tujuh bahasa kabilah Arab yang masyhur di waktu itu tetapi apabila Islam menjadi teguh, hanya bahasa Arab Quraysyi sahaja yang digunakan.
Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada al-Rasul melalui perantaraan Jibril a.s. Beliau menerima cara bacaan yang betul daripada Jibril mengikut kehendak Allah SWT. Setelah itu Rasulullah SAW mengajarkan Al-Quran kepada para sahabat sebagaimana yang diajar oleh Jibril kepadanya. Malaikat Jibril sendiri mengajar Al-Quran kepada Rasulullah SAW dengan ‘Tujuh Huruf’. Berkaitan dengan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Malaikat Jibril membacakan Al-Quran kepadaku dengan satu huruf, maka aku sentiasa mengulang-ulanginya. Aku juga sentiasa meminta kepada Jibril agar menambahkannya lagi, sehingga akhirnya ia menambahkannya sampai menjadi 7 huruf.” (Riwayat Syaikan).
PENGERTIAN ‘TUJUH HURUF’ MENGIKUT PANDANGAN ULAMA
Sab’atu bererti tujuh dan Ahruf adalah jama’ daripada perkataan huruf yang ertinya beberapa huruf . Di samping itu harf bererti wajah dan lain-lain. Secara harfiah Sab’atu Ahruf bererti tujuh huruf atau tujuh wajah.
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna tujuh huruf sehingga 40 pendapat. Pendapat ini boleh diambil iktibar dan pengajaran antaranya;
i. Cegah, suruh, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujah.
ii. Balasan baik dan buruk, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujah.
iii. 7 bahasa iaitu Quraisy, Yaman, Jarham, Hairizam, Qurdaah, Al-Tamim dan Ther.
iv. 7 Qiraat sahabat iaitu Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan Ubay bin Ka’ab.
v. Zahir, batin, fardu, sunat, khusus, umum, pemisahan dan perbandingan.
vi. Depan, akhir, faraid, hudud, peringatan, mutasyabihah dan perbandingan.
vii. Suruhan, larangan, akad (jual beli), ilmu, rahsia, zahir dan batin.
viii. Hamzah, imalah, baris atas, baris bawah, tebal, panjang dan pendek.
ix. Suruhan, larangan, berita gembira, peringatan, perkhabaran, perbandingan.
Manakala mengikut Ibnu Hayyan, beliau mengatakan Ahli ilmuwan berbeza pendapat tentang makna tujuh huruf menjadi 35 pendapat . Di antara pendapat yang paling mendekati kebenaran ialah;
i. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau makna bagi bahasa Quraisyi, Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman;
ii. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab dengan mana Al-Quran diturunkan.
iii. Tujuh wajah amr(perintah), nahyu (larangan), wa’d (janji) ‘ wa’id (ancaman), ‘jadal (perdebatan); atau Qasas (cerita) dan masal (perumpamaan) atau amr, nahyu, halal, haram, muhkam, mutashabih, dan amsal;
iv. Tujuh huruf adalah tujuh macam hal yang di dalamnya terjadi ikhtilaf (perbezaan) iaitu Ikhtilaf al-asma’ (perbezaan Kata benda) dalam bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti tasniyah jamak dan ta’nis; Perbezaan dalam segi I’rabb (harakat akhir kata); Perbezaan dalam tasrif; Perbezaan dalam takdim (mendahulukan) dan ta’khir (mengakhirkan); Perbezaan dalam segi ibdal (penggantian) baik pengertian huruf dengan huruf; Perbezaan kerana ada penambahan dan pengurangan ikhtilaf (ziadah); dan Perbezaan lahjah seperti bacaan tafkim (menebalkan) dan tarqiq (menipiskan) fathah dan imalah, izhar dan idgham, hamzah dan tashil, isymam dan sebagainya;
v. Bukan pengertian harfiah tetapi lebih kepada isyarat lambing kesempurnaan bahasa Arab, kerana lafaz ‘Sab’ah’ digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan satuan seperti ‘70’ dalam bilangan puluhan, ‘700’ dalam bilangan ratusan dan bukannya bilangan 1 hingga 10. Kata ‘Sab’ah’ bukan ditujukan pada bilangan tertentu.
vi. Tujuh huruf bermakna Qiraat Tujuh.
Imam Sayuti mengatakan Ibnu Jazari mengemukakan pendapat tentang Sab’atu Ahruf ialah Quran diturunkan dengan tujuh macam bahasa dan tujuh ajaran, tetapi pendapat tersebut tidak sahih .
Pendapat yang paling masyhur mengenai pentafsiran Sab’atu Ahruf adalah pendapat Ar- Razi dikuatkan oleh Az-Zarkani dan didukung oleh jumhur ulama. Perbezaan yang berkisar pada tujuh wajah;
i. Perbezaan pada bentuk isim , antara mufrad, tasniah, jamak muzakkar atau mu’annath. Contohnya,
وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (Al-Mukminun: 8)
Lafaz bergaris dibaca secara jamak لأمَانَاتِهِمْ dan mufrad لأمَانتِهِمْ.
ii) Perbezaan bentuk fi’il madhi , mudhari’ atau amar. Contohnya,
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَاٍ (Saba’ : 19)
Sebahagian qiraat membaca lafaz ‘rabbana’ dengan rabbuna, dan dalam kedudukan yang lain lafaz ‘ba’idu’ dengan ‘ba’ada’.
iii) Perbezaan dalam bentuk ‘irab. Contoh, lafaz إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ (Al-Baqarah: 282) dibaca dengan disukunkan huruf ‘ra’ sedangkan yang lain membaca dengan fathah.
iv) Mendahulukan (taqdim) dan mengakhirkan (ta’khir). Contoh,
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَق (Surah Qaf: 19) dibaca dengan didahulukan ‘al-haq’ dan diakhirkan ‘al-maut’, وَجَاءَتْ سَكْرَةُالْحَق بِالْمَوْتِ . Qiraat ini dianggap lemah.
v) Perbezaan dalam menambah dan mengurangi. Contoh ayat 3, Surah al-Lail,
وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالأنْثَى . Ada qiraat yang membuang lafaz ‘ma kholaqo’(bergaris).
vi) Perbezaan ibdal (ganti huruf). Contoh, kalimah ‘nunsyizuha’ dalam ayat 259 Surah al-Baqarah dibaca dengan ‘nunsyiruha’ (‘zai’ diibdalkan dengan huruf ‘ra’).
vii) Perbezaan lahjah seperti dalam masalah imalah, tarqiq, tafkhim, izhar, idgham dan sebagainya. Perkataan ‘wadduha’ dibaca dengan fathah dan ada yang membaca dengan imalah (teleng) dengan bunyi ‘wadduhe’ (sebutan antara fathah dan kasrah).
Pendapat yang paling rajih dari semua pendapat di atas adalah yang mengatakan tujuh huruf sebagai tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau makna. Pendapat ini dipegang oleh Sufyan bin ‘Uyainah, Ibnu Jarir, Ibnu wahb dan lain-lain.
Ibn Abdil Barr menisbahkan pendapat ini kepada sebahagian besar ulama dan dalilnya terdapat dalam hadis Abu Bakrah; “Jibril mengatakan: “Wahai Muhammad , bacalah Quran dengan satu huruf.” Lalu Mikail mengatakan: ‘Tambahkan’ “Jibril berkata lagi .” Dengan dua huruf!” Jibril terus menambahnya hingga sampai enam atau tujuh huruf. Lalu ia berkata : “ semua itu ubat penawar yang memadai, selama ayat azab tidak ditutup dengan ayat rahmat , dan ayat rahmat tidak ditutup dengan ayat azab . Seperti kata-kata :halumma, ta’ala, izhab, aqbil, asra’ dan ‘ajal.’“ Ibn ‘Abdil Barri menyebut: “ Maksud hadis ini hanyalah sebagai contoh bagi huruf-huruf yang dengannya Al-Quran diturunkan . Ketujuh huruf itu mempunyai makna yang sama pengertiannya, tetapi berbeza di segi bunyi ucapannya. Tidak satu pun di antaranya yang mempunyai makna yang saling berlawanan atau satu sudut yang berbeza makna dari sudut lain secara berlawanan . Misal rahmat lawan dari azab . Pendapat pertama ini disokong oleh banyak hadis lain.
HIKMAH DITURUNKAN DENGAN TUJUH HURUF
Hikmah di sebalik Allah menurunkan Al-Quran dengan tujuh huruf ialah untuk memudahkan umat Islam membacanya , sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah ia dengan bacaan yang mudah daripadanya.”
Dalam hadis riwayat Muslim juga diterima menerusi Ubay, beliau bersabda yang bermaksud, “Wahai Ubai! Aku diperintahkan agar membacakan Al-Quran dengan satu huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril agar diberi kemudahan bagi umatku dan dia menjawab agar aku membacanya dengan dua huruf . Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi lagi keringanan untuk umatku . Maka dia menjawab untuk yang ketiga kalinya . “ Bacalah Al-Quran itu dengan tujuh huruf.”
Oleh itu bacaan Al-Quran tujuh huruf itu bukanlah rekaan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW, tetapi malaikat Jibril yang mengajarnya mengikut kesesuaian perintah Allah, Rasulullah SAW diperintahkan supaya tidak tergesa-gesa bila membaca Al-Quran tetapi dikehendaki setelah sempurna diwahyukan dan ikut cara Jibril membacanya. Rasulullah SAW juga dilarang oleh Allah meniru Jibril membaca ayat dari ayat sebelum Jibril a.s selesai membacakannya agar baginda dapat menghafal dan memahaminya dengan betul setiap ayat yang diturunkan.
Allah SWT berfirman :
وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ
Ertinya : “ Dan jangan lah kamu tergesa gesa dalam membaca Al-Quran
Sebelum disempurnakan mewahyukannya .” (Taha: 114)
FirmanNya lagi:
فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Ertinya “ Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya. (Al-Qiamah: 18).
TUJUH HURUF DAN KAITANNYA DENGAN MASHAF ‘UTHMANI
Mashaf ‘Uthmani adalah mashaf yang dicatat dan disempurnakan pada zaman Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan yang digunakan pada hari ini. Menurut jumhur ulama, mashaf ini berjumlah 6 buah yang mencakupi ‘Tujuh Huruf’. Sebagai contoh, (bahasa Yaman), (bahasa Yaman), (bahasa Hawazin), (bahasa Abbas) dan lain-lain yang terdapat dalam al-Quran resam ‘Uthmani.

No comments:

Post a Comment