Monday, November 2, 2009

Pengenalan Tajwid

PENGENALAN TAJWID

Menurut Muhammad Mahmud Abdul Alim dalam bukunya أحكام التجويد وفضائل القرءان (2003) menyatakan bahawa tajwid pada bahasa ialah هو التحسين والإتقان dan pada istilah ialah هو العلم الذي يبحث في الكلمات القرءانية من حيث إعطاء الحروف حقها ومستحقها manakala menurut Haji Abdul Qadir Leong Al Azhari dalam bukunya Tajwid Al Quran Rasm Uthmani (1997), tajwid pada bahasa ialah “memperelokkan sesuatu” dan pada istilah ialah “melafazkan setiap huruf dari makhrajnya yang betul serta memenuhi hak-hak setiap huruf yakni sifat aslinya, dan mustahaknya yakni sifat mendatangnya.
Selain dari itu menurut Haji Abdul Ghani Ariffin dalam bukunya Panduan Tajwid Dan Tarannum (2007) menyatakan bahawa tajwid ialah “ilmu yang membicarakan tentang cara-cara membaca ayat-ayat Al Quran menurut hukum-hukum tajwid yang tertentu dengan menyebut makhraj huruf yang sesuai mengikut sifat-sifatnya”.

Muhamad Jamal Al Amir dalam bukunya Latihan Soal Jawab Tajwid (2006) mejelaskan bahawa tajwid pada bahasa ialah “memperindahkan atau memperbaguskan” manakala pada istilah pula ialah “ memberikan kepada setiap huruf mana-mana sifat yang mesti dipersifat huruf seperti همس (sembunyi) جهر (jelas) شذّة (keras) dan رخاوة (lunak) sehinggalah setiap huruf itu dapat keluar dari makhraj masing-masing dengan sempurna”.

Azhari Ibrahim dalam bukunya Kitab Pelajaran Tajwid (1995) menyatakan bahawa tajwid ialah “ilmu yang membicarakan tentang cara-cara membaca ayat Al Quran menurut hukum-hukum yang tertentu dengan mengucapkan huruf-huruf mengikut ketentuan asal makhrajnya dan ketentuan yang baru mendatang seperti tafkhim, tarqiq dan sebagainya”.

Menurut Surur Shihabuddin An Nadwi dalam bukunya علم التجويد برواية حفص عن عاصم من طريق الشاطبية (2007) menjelasakan bahawa tajwid pada bahasa ialah “mengelokkan atau mencantikkan” manakala dari segi istilah ialah “suatu ilmu untuk mengetahui cara melafazkan huruf-huruf Al Quran dengan betul”.

Selain dari itu tajwid juga didefinisikan sebagai “ satu ilmu yang berkaitan bacaan atau cara menyebut lafaz Al Quran (Khairul Anuar Mohamad, Zulhilmi Mohamed Nor, 2007).

Kesimpulannya, tajwid ialah satu ilmu yang membicarakan serta menyatakan cara-cara membaca al Quran, bagaimana melafazkan hurufnya dimana tempat ianya bermula dan dimana tempat berakhirnya serta lain-lain hubungan dengan tatacara yang tepat menurut kehendak ilmu tajwid Al Quran.

No comments:

Post a Comment