Monday, February 8, 2010

Kelebihan Mengajar Ilmu Yang Bermanfaat

Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi, sangat mulia dan satu kerjaya yang suci di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta Rasul-Nya.

Firman Allah Ta‘ala dalam Surah An-Nahl ayat 43 dan Surah Al-Anbiya’ ayat 7:


Tafsirnya: “Maka bertanyalah kamu kepada Ahlu'dz Dzikri jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah An-Nahl: 43 dan Al-Anbiyaa’: 7)

Ahlu'dz Dzikri bermaksud orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang-orang yang mengetahuinya.

Imam Ath-Thabarani meriwayatkan dalam kitabnya Al-Kabir bahwasanya Mu‘awiyyah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan feqh itu dengan mempelajari ilmu feqh. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”
(Hadits riwayat Ath-Thabarani)

Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Akan datang kepada kamu beberapa kaum untuk mencari ilmu, maka apabila kamu melihat mereka hendaklah kamu katakan kepada mereka: Selamat datang, selamat datang, mengikut wasiat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan hendaklah kamu mengajar mereka.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pula berkata: Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan dari kematian seorang alim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan olehNya.

Yahya bin Mu‘az berkata: Para ulama lebih menyayangi umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ayah-ayah serta ibu-ibu mereka. Lalu ditanyakan kepadanya: Bagaimana pula begitu? Lalu Yahya menjawab: Ibu-bapa menjaga anak-anaknya daripada neraka (kesusahan) dunia, sedangkan para ulama menjaga mereka daripada neraka akhirat.

Sebahagian ulama berkata: Para ulama umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka merupakan pelita yang menyinari ahli zamannya.

No comments:

Post a Comment