Kepala Aswad Dicampak ke Tanah
Setelah berhasil menghubungi Azaz, Qais segera keluar dan berunding dengan kawan-kawannya mengenai jalan terbaik untuk membinasakan Aswad. Sementara Aswad sendiri semakin terasa bahawa ada komplotan yang ingin memudaratkan dirinya. Dia mendapat tahu perkara ini dari syaitan-syaitan yang menjadi temannya. Dia mencurigai Fairuz dan selalu memanggilnya untuk disoal siasat, tapi Fairuz menafikan bahawa dirinya sedang memendam rasa benci.
Suatu hari Aswad mengadakan sembelihan haiwan secara besar-besaran yang terdiri dari seratus ekor lembu dan unta di hadapan orang ramai. Tiba-tiba Aswad berkata kepada Fairuz: “Wahai Fairuz! Aku telah menerima wahyu bahawa engkau benar-benar ingin memusnahkan aku. Aku benar-benar bercadang akan menyembelih engkau seperti haiwan-haiwan ini.”
Sekali lagi Fairuz menafikan tuduhan itu dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang membanggakan Aswad. Fairuz mengingatkan Aswad bahawa dirinya telah diberi pangkat sebagai pengetua kaum peranakan dan juga masih iparnya, mana mungkin akan menaruh dendam?
“Aku menyukai tuan, sebagaimana tuan menyukai aku.” kata Fairuz.
“Betul itu. Baiklah sila agih-agihkan danging haiwan ini kepada orang ramai.” kata Aswad Al-Insi.
Akan tetapi apabila Fairuz selesai membagi-bagikan daging dan ingin berjumpa dengan Aswad, dia mendengar berita bahawa nabi palsu itu betul-betul ingin membunuhnya. Fairuz segera pergi kepada teman-teman sehaluannya untuk berunding. Masa telah suntuk. Kalau nabi palsu itu tidak segera dibunuh, nasib mereka yang diketahui belot pasti sangat berbahaya. Ketiga-tiga orang penting itu telah nekad untuk bekerja sama dengan isteri paksa Aswad untuk membunuhnya. Fairuz dipilih untuk berjumpa terus dengan Azaz, kerana dia masih sepupunya.
“Bilik-bilik kediaman Aswad dipagar dan dipenuhi dengan pengawal-pengawal, kecuali bilik yang ini yang tidak begitu ketat kawalannya.” kata Azaz kepada Fairuz.
Walau bagaimanapun Azaz yang sangat menaruh dendam terhadap Aswad memberikan cara rahsia untuk sampai ke bilik tidur orang yang dibencinya itu. Dia mengarahkan agar membuat suatu lubang sulit yang boleh mencapai bilik Aswad, dan dia sendiri akan membantunya secara sulit pula. Setelah berbincang banyak, Fairuz segera berpaling akan keluar dari rumah Azaz. Akan tetapi tiba-tiba Aswad datang dan melihat Fairuz baru keluar dari Azaz.
“Kurang ajar. Hai Fairuz! Mengapa engkau berani masuk ke tempat isteriku?” kata Aswad dengan marahnya.
Tidak ampun lagi, Aswad menangkap batang leher Fairuz dan akan membunuhnya ketika itu juga. Nasib baik Azaz segera datang dan berteriak: “Jangan apa-apakan! Dia adalah saudara sepupuku datang menziarahiku. Apa salahnya.”
“Engkau diam!” kata Aswad menengking Azaz.
Kerana masih merasa sangat sayang kepada Azaz yang sangat cantik jelita itu, Aswad tidak jadi membunuh Fairuz. Dia melepaskan cengkamannya dengan kasar sambil berkata: “Berambuslah engkau dari sini!”
“Selamat, selamat......” kata Fairuz yang masih ketakutan itu ketika berjumpa dengan kawan-kawannya dan menceritakan apa yang telah terjadi.
Mereka terus berbincang langkah seterusnya. Azaz pula mengirim pesan agar azam mereka diteruskan dan menyatakan sokongannya. Ketika Aswad tidak ada, Fairuz masuk lagi ke rumah Azaz dan segera menggali lobang sulit. Tiada berapa lama Aswad pun datang, dan Azaz sudah bersedia dengan sikap seperti seorang yang sedang berziarah.
“Siapa lagi ini?” tengking Aswad.
“Dia saudara sesusuanku dan juga sepupuku. Mengapa engkau selalu curiga?” jawab Azaz.
Fairuz pun dihalau keluar dan berjumpa dengan teman-temannya.
Pada sebelah malam, mereka pun masuk ke rumah Aswad melalui lubang sulit yang telah dibuatnya. Azaz pula sudah siap sedia memberikan laluan kepada mereka untuk membunuh suaminya. Malam itu Aswad sedang berada dalam keadaan separuh sedar kerana mabuk arak dan tertidur pulas di atas tilam sutera. Ketika Fairuz masuk, syaitan-syaitan Aswad mengejutkannya lalu didudukkannya dalam keadaan separuh sedar.
“Ada apa dengan engkau hai Fairuz?” kata Aswad yang sedang tertidur mabuk itu.
Fairuz khuatir Aswad akan sedar. Oleh kerana itu dia cepat-cepat menangkap kepalanya, menekan lehernya dari belakang, dipijak lalu dihantuk-hantukkannya kepala nabi palsu itu sehingga mati. Kemudian Fairuz keluar memberitahukan teman-temannya yang sedang mengepung di luar bahawa nabi palsu itu sudah mati. Gegap gempitalah takbir di sekitar itu. Akan tetapi syaitan-syaitan Aswad selalu menggerak-gerakkan tubuhnya sehingga kelihatan seperti masih hidup.
Mereka pun tidak dapat memastikan bahawa dia telah mati. Azaz segera menarik rambut Aswad kuat-kuat, sehingga syaitan Aswad tak tentu hala. Sedang orang yang lain terus memotong lehernya, sehingga terpisahlah kepala nabi palsu itu dari badannya. Orang-orang yang berkawal di sekitar rumah kediaman Aswad merasa curiga apabila mendengar suara yang mencurigakan.
“Suara apa itu?” tanya mereka.
“Tidak ada apa-apa, hanya nabi sedang menerima wahyu.” jawab Azaz.
Fairuz, Qais dan Dazwiyah berunding cara yang paling berkesan untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa nabi palsu itu sudah dibunuh. Mereka sepakat untuk mengumpulkan orang ramai di sekitar istana menjelang Subuh. Menjelang Subuh, orang ramai pun berkumpul berpusu-pusu di sekitar istana kerana mengikut arahan. Mungkin dikatakan kepada mereka bahawa nabi Aswad memintanya mereka agar berkumpul. Mereka yang berkumpul bukan saja dari pengikut setia Aswad, tapi juga dari kalangan orang-orang beriman dan yang masih menyimpan iman di hatinya.
Waktu Subuh pun masuk, Qais naik ke bumbung istana lalu melaungkan azan. Apabila sampai pada lafaz Asyhadu anna Muhammadarrasulullah.....tiba-tiba ditambah dengan Wa anna Abhalah (Aswad) pendusta”. Serentak dengan perkataan Abhalah, si tukang azan tiba-tiba melemparkan kepala nabi palsu Aswad ke tanah.
Maka tahulah mereka bahawa Aswad yang angkuh itu sudah dibunuh. Maka gemuruhlah takbir, kepala Aswad lalu disepak-sepaknya ke sana ke sini. Orang ramai bertaubat dan kembali kepada agama Islam yang sebenar dan mengucapkan taat setia kepada Rasulullah SAW. Tamatlah riwayat nabi palsu Aswad Al-Insi setelah berkuasa selama lebih kurang empat bulan sahaja. Sementara di Madinah Rasulullah SAW telah mengetahui peristiwa tersebut dari Allah pada malam itu juga.
“Al-Insi telah dibunuh malam tadi oleh lelaki yang diberkati dari keluarga yang diberkati.” kata Rasulullah.
“Siapa itu wahai Rasululllah?” tanya sahabat.
“Fairuz Fairuz.” jawab Rasulullah SAW. Wallahu a’lam.
Banyak pihak merasa lega dengan kematian Aswad, tapi ramai yang masih bimbang akan kemunculan konco-konconya yang mungkin boleh menggugat keamanan kaum Muslimin. Fairuz sendiri berkata: “Setelah Aswad kami bunuh, keadaan kita kembali seperti sedia kala dengan usaha Mu’az bin Jabal, dan dia yang menjadi imam solat kami. Akan tetapi walaupun Aswad sudah tidak ada, pasukan berkuda teman-teman Aswad masih ada. Kemudian setelah tersiar berita kewafatan Rasulullah, timbullah kegelisahan di merata tempat.”
Kebimbangan Fairuz itu menjadi kenyataan apabila dikemudian hari banyak lagi Nabi palsu dan pembelot agama membuat kekacauan. Bahkan Qais bin Abdi Yaguth juga tiba-tiba murtad dan ingin berkuasa sepenuhnya, tapi dapat dipadamkan akhirnya.
No comments:
Post a Comment