Thursday, September 10, 2009

Cinta Sempurna Menghampiri Penghujungnya

cintasempurna-14

Teledrama Cinta Sempurna sudah hampir ke penghujungnya.

Banyak persoalan semakin terjawab.

Mengambil pendekatan dakwah secara populis (drama, blog interaktif yang dibuka ruang komen dan komen balas), membuka ruang kepada maklum balas yang sangat luar biasa. Dalam erti kata yang lain, kalau anda mudah terganggu dengan ‘apa orang lain kata’, ada baiknya dihindarkan pendekatan dakwah secara populis ini dan kekal sahaja dengan cara sehala yang sinonim dengan kaedah konvensional.

Hanya pesanan Nabawi ini sahajalah pengubatnya:

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

Ketika drama ini di peringkat perancangan, pembikinan dan penggambaran, komen-komen pembaca di blog Saifulislam.Com sudah pelbagai.

Tatkala salinan lima episod pertama diserahkan kepada saya untuk prebiu, saya sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengan komen yang lebih agresif memandangkan banyak aspek penampilan drama ini yang boleh dengan mudah menjadi sasaran kritikan.

Oleh kerana manusia yang berblog itu bukan penerbit, pengarah mahu pun pelakon, sebaliknya penulis skrip dan ‘mangsa realiti pemilik cerita asal’, maka saya dan Ustaz Zabidi Mohamed jualah yang berada di frontline bagi bersemuka dengan segala komen, kritikan dan sesekali cadangan untuk penambah baikan.

Tatkala menyusuri komen-komen yang begitu banyak di internet, kaget juga saya dibuatnya. Kritikan yang ditujukan kepada saya bukan sekadar pada penampilan pelakon, ketiadaan sari kata pada dialog Inggeris, atau iklan dan masa tayangan, malah saya turut dikritik sebagai ustaz pendek, gemuk dan macam-macam lagi.

Malah ada juga yang kritikannya hingga ke tahap saya khuatirkan keselamatan diri dan keluarga! Terlalu obses pada menyukai atau terlalu obses pada menolak dan membenci.

Bagi saya, jika kehidupan ini sebiji karipap, itulah inti sebenar yang terpaksa ditelan. Jika ditukar ke bahasa dakwah, itulah mad’u yang menjadi tanggungjawab kita mendidiknya. Mereka yang gemarkan the alternate reality akan menempuh rasa sukar untuk menelan semua ini kerana kehidupan idamannya jauh dari apa yang sedang bersifat semasa.

Manakala untuk diri saya, selepas produksi Cinta Sempurna ini saya belajar sesuatu yang penting. Pengalaman di sebalik tabir membuktikan bahawa usaha untuk menghasilkan sebuah drama, apatah lagi drama yang baik mengikut piawaian kita bukanlah sesuatu yang mudah.

Semasa pemilik cerita asal bercerita kepada penulis skrip, bentuk ceritanya adalah seperti A. Apabila ia dipindahkan kepada sebuah skrip, ia mengembang menjadi B. Tatkala skrip B siap dan disemak, kita berusaha untuk memperbaikinya sedaya mungkin dan ia menjadi C. Apabila C dipindahkan kepada manuskrip bacaan artis, ia menjadi D. Apabila semua itu dibawa ke lokasi penggambaran dan dilakonkan, ia menjadi E. Selesai penggambaran dan rakaman disunting, ia menjadi F. Jauh sekali saya sebagai pencetus cerita asal daripada apa yang akhirnya dipaparkan di televisyen.

Ikhtiar semua orang, banyak cacat celanya namun dek susahnya penghasilan sebuah drama, dan besarnya perbelanjaan yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah drama 20 siri, cukuplah jika saya belajar satu perkara, bahawa saya akan lebih berhemah dalam melontarkan pandangan dan kritikan terhadap hasil kerja orang lain.

TIGA BENTUK DRAMA

Ya, ia adalah drama. Apabila namanya drama ia bukan dokumentari yang bersifat factual.

Drama Melayu yang membawa nilai Islam di dalam dunia penyiaran kita boleh dibahagikan kepada tiga.

Pertama, drama supernatural.

Drama-drama dalam kategori ini menekankan unsur khariqun lil ‘adah membabitkan jin, syaitan, bomoh, keramat wali, roh orang mati dan pelbagai lagi.

Lambakan drama dalam kategori ini di satu tahap mengisi keinginan penonton yang suka ditakut-takutkan, tetapi kemudian berubah menjadi ketakutan tatkala melihat lambakannya yang ekstrim khusus pada Khamis malam Jumaat.

Kedua, drama emosional.

Drama-drama dalam kategori ini membawa kekuatan yang banyak bersangkutan kepada konflik emosi. Biar pun tajuknya pelbagai, namun mungkin subjek utamanya adalah konflik cinta dan perasaan. Drama seperti ini sangat dekat dengan jiwa penonton kerana sentuhannya akan meninggalkan bekas yang besar kepada penonton. Keropok ubi yang musnah diramas, tisu yang luak sekotak, mungkin menjadi simptom kepada keberkesanan drama sebegini.

Begitu juga dengan drama dakwah genre komedi. Penyampaian mesej dalam sindiran lucu, adalah pendekatan yang amat menarik, tetapi turut memerlukan tahap kreativiti yang tinggi.

Pelakon akan lebih cepat terserlah bakatnya apabila berjaya menjiwa watak-watak dalam drama kategori ini.

Ketiga, drama logikal / intelektual.

Drama-drama dalam kategori ini membawa mesej yang berkaitan dengan konflik pemikiran. Apa yang dibentangkan adalah subjek yang mencabar minda penonton untuk berfikir, mencari jawapan kepada persoalan yang membelenggu kehidupan dan mungkin sambil itu perlu mengkritik penyelesaian semasa.

Drama dalam kategori ini cenderung untuk menjadi sebuah drama yang berat, ditolak oleh penonton yang tidak suka dipening-peningkan pada waktu rehat mereka atau mungkin juga hilang sentuhan drama dan berubah menjadi sebuah dokumentari. Ia juga memerlukan kepada pelakon-pelakon yang bijak agar mereka dapat mengoptimumkan garapan watak yang diberi.

CINTA SEMPURNA adalah percubaan awal untuk menambah koleksi drama dalam kategori ketiga ini. Biar pun tajuknya CINTA, drama ini kurang adegan yang mencarik hati dan perasaan penonton. Tetapi apa yang banyak dimasukkan adalah subjek yang mengganggu fikiran. Bukan gangguan yang disengajakan tetapi gangguan yang bertujuan menggerakkan minda agar berfikir, tentang apa yang cuba dipaparkan.

Di balik tabir, ada banyak kejadian yang berlaku hingga membawa kepada timbulnya idea untuk menghasilkan drama CINTA SEMPURNA. Ia tidak betah untuk ditulis secara terbuka, namun misinya besar pada membetulkan kembali hala tuju falsafah penyiaran yang memisahkan moral obligation dengan seni kreatif. Ada krisis nilai di belakang skrin dan di depan skrin yang dipertanggungjawabkan kepada drama CINTA SEMPURNA untuk menanganinya. Ia suatu tugas yang tidak mudah buat semua.

Dengan segala kelemahan yang semua sedia maklum, apa yang diharapkan ialah CINTA SEMPURNA boleh menjadi pemangkin untuk membanyakkan lagi drama kita yang duduk di dalam genre DRAMA LOGIKAL yang mencabar AKAL kerana krisis pemikiran masyarakat semakin meruncing dan sesi kuliah serta ceramah semakin tidak bermaya dalam menyasarkan penyelesaian kepada target audience berkaitan.

Berikut adalah di antara ulasan berkenaan drama CINTA SEMPURNA yang sempat saya temui di alam maya.

Semoga bermanfaat.

Dipetik dari http://saifulislam.blogspot.com/

300 pelakon jayakan Cinta Sempurna


Babak cemas dalam cinta Sempurna.

“BILA Rosyam Nor pesan jangan masuk bidang produksi, saya tidak mengendahkannya atas semangat mahu mencuba. Tapi, bila sudah masuk barulah saya tahu ia bukan kerja senang... terlalu banyak dugaan dan cabarannya,” demikian kata Pengarah Urusan Cerna Media Sdn Bhd, Sahid Juri.

Tampil dengan drama sulung terbitannya, Cinta Sempurna sebanyak 20 episod yang bakal menemui penonton di Astro Oasis, Ramadan ini, kerja produksi itu memberikannya satu pengalaman baru walaupun beliau antara `orang lama’ dalam bidang penerbitan, terutama membabitkan iklan komersial dan animasi.

“Buat iklan komersial tidaklah sesukar drama, terutama dari segi tempoh penggambaran. Biasanya,, penggambaran iklan mengambil masa singkat… paling lama pun seminggu sedangkan drama berbulan-bulan.

“Penggambaran Cinta Sempurna saja berlangsung selama dua bulan. Bila bercakap fasal masa, lebih panjang tempoh penggambaran itu, maka ia akan membabitkan kos. Saya tidak nafikan drama ini membabitkan kos penerbitan yang tinggi,” katanya kepada B*Pop baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan jumlah sebenar tetapi menyatakan ia mencecah enam angka, Sahid berkata, masa dan kos adalah cabaran utama yang terpaksa dihadapinya dalam percubaan pertama beliau menerbitkan drama.

“Buat Cinta Sempurna sebenarnya tidak menguntungkan namun ia dianggap sebagai platform terbaik untuk saya meneroka bidang produksi. Biarpun kosnya agak mahal, namun saya mempunyai cara tersendiri untuk meminimumkan perbelanjaan dengan mendapatkan tajaan.

“Alhamdulillah, ramai rakan membantu, terutama dari keperluan logistik termasuk meminjamkan lokasi penggambaran tanpa saya perlu mengeluarkan apa-apa kos,” katanya sambil menghargai kepercayaan Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar kepadanya menerbitkan drama itu.

Diminta mengulas lanjut, Sahid yang berasal dari Sungai Mati, Muar memberitahu drama sulungnya itu membabitkan perbelanjaan tinggi disebabkan oleh bayaran pelakon, dengan ada di antaranya dibayar sehingga RM1,000 sehari.

“Keseluruhannya, 300 pelakon utama dan tambahan terbabit dalam pembikinan drama ini, termasuk penampilan istimewa dua penyanyi terkenal, Yuna dan Akhil Hayy. Saya diberitahu, inilah jumlah pelakon teramai dalam pembikinan sesebuah drama tempatan.

“Seperti Yuna, saya bukan hanya membayarnya sebagai pelakon undangan, malah hak cipta lagunya yang dijadikan lagu montaj, selain penggunaan judul lagu itu sebagai tajuk drama ini. Itu semua kos yang perlu diambil kira,” katanya.

Penggambarannya berlangsung selama dua bulan termasuk proses suntingan bermula 25 Mei lalu di Lembah Klang dan Bentong, Cinta Sempurna arahan Saiful Bahri Othman mampu membuka dimensi baru terhadap penerbitan drama tempatan.

Memaparkan konflik keluarga, kejutan budaya hingga membabitkan isu akidah, drama itu lebih dari sekadar drama dakwah biarpun banyak pihak beranggapan sedemikian hanya kerana ia bakal disiarkan di Astro Oasis.

“Ada yang kata ia drama dakwah, drama Islamik dan sebagainya. Ini sebenarnya sangat subjektif. Sebagai penerbit, saya menyerahkan kepada penonton untuk membuat penilaian. Saya mungkin beranggapan lain, begitu juga pengarah, penulis skrip dan penonton.

“Cuma, apa yang boleh saya perkatakan, drama ini bukan sekadar mahu menghiburkan penonton, sebaliknya mahu memberikan kesedaran melalui mesej-mesej positif yang disampaikan. Saya mahu penonton di luar berfikir apabila menontonnya nanti,” katanya.

Menampilkan Fizo Omar, Ashraf Muslim dan Tengku Tiara Yasmin Sofea sebagai pelakon utama , Cinta Sempurna dijangka mendapat sambutan menggalakkan, lebih-lebih lagi menggunakan penulis skripnya, Zabidi Mohamed sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi menerusi dua bukunya, Tersungkur Di Pintu Syurga dan Al-Maunah.

“Inilah percubaan pertama beliau, yang juga bekas peguam Al-Arqam menulis skrip. Ia diadaptasikan dari pengalaman hidup pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Hasrizal Abdul Jamil. Ustaz Hasri sebelum ini pernah menceritakan kisah benar itu di blognya (http://saifulislam.blogspot.com).

“Sebenarnya, ramai tidak tahu blognya itu dilayari kira-kira 40 juta pelayar dari seluruh dunia, jauh lebih ramai dari blog mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ustaz Hasri memang popular di luar (negara), malah sering dijemput untuk berceramah ,” katanya.

Cinta Sempurna berkisarkan dua beradik, Shila dan Najib yang dihantar bersekolah di London oleh ibu bapa mereka kerana tidak mahu terkongkong dengan kehidupan masyarakat tempatan yang begitu kuat berpegang kepada tuntutan agama.

Selama 12 tahun di luar negara dan bergelumang dengan kehidupan Barat, semakin terhakis budaya Melayu dalam diri dua beradik itu, malah akidah mereka juga sudah jauh terpesong dan sering mempertikaikan hukum agama. Maklumat lanjut mengenai drama ini boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang oasis-cintasempurna.blogspot.com.

INFO:

  • Judul: Cinta Sempurna
  • Genre: Drama Bersiri (20 Episod)
  • Penerbit: Sahid Juri (Cerna Media Sdn Bhd)
  • Pengarah: Saipul Bahri Othman
  • Penulis Skrip: Zabidi Mohamed
  • Idea Asal: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
  • Penasihat Syariah: Ustaz Mohd Adib Samuri
  • Pelakon: Fizow Omar, Ashraf Muslim, Tengku Tiara Yasmin Sofea, Siti Fazurina, Maria Farida, Faezah Elai, Akhbar Azmi, Khairil Anuar, Dinie Jurie dan Mahmud Ali Basha
  • Penampilan Istimewa: Yuna dan Akhill Hayy
  • Tarikh Tayangan: Sempena Ramadan
  • Saluran: Astro Oasis
  • Tempoh Penggambaran: 60 hari (Bermula 25 Mei 2009)
  • Lokasi: Taman Melawati, Hulu Klang; Taman Metropolitan, Kepong; Kampung Janda Baik, Bentong dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang
Dipetik dari saifulislam.com dan B-POP

No comments:

Post a Comment