Friday, September 4, 2009

Mercun Oh Mercun

PETIKAN DARI BERITA HARIAN http://www.bharian.com.my/Misc/IKON/Hari/zoom1/20061014150057/Article/


JIKA kebanyakan kanak-kanak dan remaja di beberapa negara bergolak di Asia Barat menderita atau cedera kerana mempertahankan tanah air mereka daripada serangan pihak tidak berperikemanusiaan, segelintir kanak-kanak dan remaja di negara ini pula menderita kerana sengaja menempah maut.

Remaja di Asia Barat seperti yang dipapar melalui media massa cedera parah, kehilangan anggota badan, malah ada yang terkorban dek tembakan dan letupan kerana mempertahankan tanah air daripada diceroboh tentera Zionis. Sayangnya, segelintir remaja di Malaysia yang aman damai ini sengaja mengundang musibah dan mencederakan diri dengan bermain mercun.

Sudah seperti satu kemestian setiap kali ada sambutan perayaan di negara ini, ia akan disertai dengan aktiviti membakar mercun dan bunga api. Tidak kira sama ada perayaan menyambut tahun baru, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Aidilfitri, ‘budaya’ bermain mercun seakan-akan tidak boleh dilupakan setiap kali datangnya perayaan.

Mungkin bagi ramai orang, aktiviti membakar mercun dapat menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan, terutama bagi masyarakat Cina yang sudah menjadikannya sebagai tradisi setiap kali menyambut tahun baru dalam kalendar Cina.

Fenomena itu sedikit sebanyak menular dalam masyarakat Melayu yang turut terbawa-bawa dengan kegiatan membakar mercun dan bunga api ketika menyambut Aidilfitri.

Disebabkan itu, setiap kali musim perayaan, riuh-rendahlah kawasan perumahan di bandar dan di kampung dengan dentuman mercun yang dimainkan anak-anak muda dan tidak ketinggalan orang dewasa, termasuk golongan bapa yang sepatutnya menasihatkan anak-anak mereka jangan membakar mercun kerana ia perbuatan membazir.

Namun yang menjadi inti pati soal mercun dan bunga api ialah kes kemalangan dan kecederaan akibat mercun yang saban tahun menjadi bahan laporan media massa pada musim perayaan.

Biarpun kerajaan sudah mengharam dan menguatkuasakan undang-undang yang membabxtkan aktiviti penjualan, pembelian dan pembakaran mercun, tragedi pilu seperti ini masih berulang.

Mungkinkah masyarakat kita belum sedar walaupun sudah menyaksikan pelbagai derita yang ditanggung mangsa yang bermain mercun atau sukar bagi mereka untuk mengikis ‘kecelaruan budaya’ ini hingga tragedi malang betul-betul menimpa diri.

Nobel minggu ini menyingkap amalan bermain mercun yang sinonim dengan masyarakat kita apabila menyambut perayaan. Selain itu, i-Kon turut mendapatkan pandangan remaja mengenai bahaya mercun. Beringatlah sebelum kena!

Mercun bahaya!

KEMERIAHAN perayaan bukan terletak pada mercun dan bunga api. Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Mohamed Khalid Yusuf ketika diminta pendapatnya baru-baru ini.

Khalid berkata, kemeriahan menyambut perayaan seperti Aidilfitri dapat diwujudkan melalui amalan kunjung-mengunjungi rumah jiran dan saudara mara.

“Tidak perlu melakukan perkara berbahaya seperti membakar mercun, sedangkan kita mempunyai amalan positif yang digalakkan agama sempena menyambut hari raya iaitu ziarah-menziarahi.

“Meriahnya hari raya terletak di jiwa kita, bukan pada keriuhan mendengar letupan mercun seperti yang dianggap sesetengah orang,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa masyarakat secara keseluruhannya membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti yang tidak berfaedah ini.

“Pihak kastam tegas dalam menguatkuasakan undang-undang bersabit kesalahan menyeludup, menjual dan memiliki mercun.

“Kami sudah mengeluarkan arahan pada setiap peringkat jabatan supaya melaksanakannya.

“Orang ramai sudah kerap kali diingatkan supaya tidak terbabxt dengan pembelian bahan terlarang ini dan ibu bapa diminta membendung anak mereka daripada bermain bunga api,” katanya.

Beliau menyatakan setakat ini, pihaknya sudah merampas mercun yang cuba diseludup bernilai lebih RM3 juta dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara baru-baru ini.

Nilai rampasan pada tahun ini, katanya berkurangan dari tahun lalu.

“Ia mungkin hasil penguatkuasaan kerap yang dijalankan dan kesedaran orang ramai mengenai bahaya bermain mercun yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada sesetengah masyarakat yang tidak menganggap amalan bermain mercun sesuatu yang membahayakan lalu mereka meneruskan ‘tradisi’ itu terutama pada musim perayaan.

“Masyarakat patut mengambil iktibar daripada kes kemalangan akibat mercun yang berlaku setiap kali musim perayaan.

“Janganlah pula niat untuk bergembira bertukar menjadi peristiwa sedih apabila berlaku perkara tidak diingini,” katanya mengakhiri perbualan.

Tak seronok raya tanpa mercun?

TIDAK ada cara lainkah untuk bergembira menyambut perayaan, selain bermain mercun atau bunga api hingga ramai yang mengatakan tidak meriah atau seronok menyambut sesuatu perayaan tanpa mercun dan bunga api.

Ramai yang sanggup mengambil risiko mendedahkan diri sendiri dengan bahaya demi mengecap ‘kegembiraan’ itu hingga terlupa perbuatan ini bukan saja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain sama.

Walaupun mercun diharamkan, masih ada individu yang menjual bahan terlarang ini berdasarkan peningkatan permintaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkannya, selain semakin banyak rampasan mercun dan bunga api oleh pihak berkuasa dari setahun ke setahun.

Pada musim perayaan, ramai orang berlumba-lumba membuat keuntungan cepat melalui penjualan mercun dan bunga api kerana pada tempoh ini permintaan terhadap bahan itu meningkat mendadak.

Jika tidak dapat menjualnya secara terbuka, mereka memilih untuk mengedarnya secara sembunyi. Kegiatan menjual mercun akan terus ‘hidup’ kerana pembekal yakin orang yang akan membelinya walaupun kerajaan melarang ia dibakar secara terbuka. Hakikatnya, ramai sanggup ‘membakar’ wang untuk mendapat sedikit kepuasan.

Oleh itu, kes putus jari, melecur dan pelbagai kecederaan akibat mercun seperti yang disiarkan media massa saban tahun tidak akan ada kesudahan.

Kecederaan yang dilaporkan bukan hanya berpunca angkara ‘mercun komersilx’ yang dijual di pasaran, malah kecederaan serius turut diakibatkan letupan buatan sendiri seperti bermain meriam konkrit atau meriam buluh yang menggunakan karbaid.

Itulah padahnya apabila daya kreatif yang ada disalurkan pula kepada perbuatan yang salah. Terkena diri sendiri sudahlah sakit, inikan pula mencederakan orang lain. Menyesal tak sudahlah jawabnya.

Harap-harap, masih ramai anggota masyarakat kita mampu berfikir panjang dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan bermain mercun.

i-Kon turut bertanya pendapat remaja mengenai amalan bermain mercun. Adakah mereka sedar bahayanya atau masih menganggapnya kemestian untuk menyambut hari raya?

Apa kata mereka?


Jasrina Jamaludin, 24

“Bermain mercun dan bunga api hendak dikatakan tradisi pun tidak juga tapi disebabkan sering dimainkan setiap kali menyambut raya, ia seolah-olah menjadi satu kemestian.

“Tetapi, pada pendapat saya, kalau hendak bergembira pun, cukuplah sekadar bermain bunga api kerana ia kurang berbahaya jika dibandingkan mercun.

“Kanak-kanaklah yang selalu ‘sibuk’ bermain mercun dan bunga api, oleh itu ibu bapa sepatutnya melarang anak-anak mereka daripada terikut-ikut ‘budaya’ bermain mercun kerana kecederaan boleh berlaku tanpa diduga,”


Siti Nurul Qalbie, 27

“Pada saya, tidak salah bermain bunga api. Cuma jangan cuba bermain mercun sudahlah.

“Tetapi jika yang bermain bunga api itu kanak-kanak, mereka harus diawasi orang dewasa kerana tanpa pengawasan, bunga api yang nampak tidak bahaya pun boleh menjadi ancaman.

“Sewaktu kecil-kecil dulu pun saya bermain bunga api. Main mercun saja yang saya tak pernah kerana tidak berani.

“Di kampung saya di Kelantan memang riuh dengan bunyi mercun yang dibakar remaja kampung setiap kali musim perayaan. Lagipun, di sana bekalan mercun dan bunga api mudah didapati dari negara jiran.”


Zarina Zainal Abidin, 22

“Tidak kira di kampung atau bandar, rata-rata orang bermain mercun dan bunga api lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

“Disebabkan setiap tahun orang bermain mercun di sana-sini, ia seperti satu tradisi dan hari raya akan berasa kurang meriah tanpanya.

“Namun, jangan pula terlalu seronok bermain mercun sehingga mengabaikan keselamatan diri dan orang di sekeliling dan jangan pula membaling mercun ke arah orang lain atau ke dalam rumah orang.

“Kalau hendak bermain mercun atau bunga api, mesti berhati-hati. Sewaktu darjah satu dulu, kain baju kurung saya pernah terbakar dek bunga api yang dimain terlepas dari tangan.”


Khairil Tarmizi, 25

“Walaupun sudah diharamkan, bermain mercun menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat kita terutama pada sesetengah sambutan perayaan.

“Saya sewaktu sekolah dulu bermain mercun bersama rakan bahkan apabila tiba Ramadan, di awal minggu lagi ‘operasi’ bermain mercun sudah dimulakan.

“Kalau main mercun mesti ramai-ramai. Kononnya kalau terjadi apa-apa biar ditanggung ramai-ramai.

“Bagi kebanyakan kanak-kanak, tanpa bunga api dan mercun, hari raya tidak meriah, tak ada ‘feel’ tetapi apabila melihat kes kecederaan akibat mercun, mereka sepatutnya sedar bahayanya.”


Sufean Abu Samah, 29

“Sebenarnya, yang menjadikan mercun berbahaya ialah bila ia diubah suai seperti mercun paip, meriam buluh dan sebagainya.

“Mercun sebegini biasanya dimain remaja di pinggir bandar atau di kampung.

“Sedikit silap saja ketika ‘mengendalikan’ mercun buatan sendiri ini, padahlah jawabnya kerana bahan yang digunakan biasanya boleh menyebabkan kecederaan.

“Bermain mercun sebenarnya membazir atau ‘membakar wang’ kerana ia tidak mendatangkan keuntungan malah membahayakan nyawa.”

TAPI SYIOK JUGA KAN MAIN MERCUN WALAUPUN BAHAYA. SIAPA YANG SUKA MAIN MERCUN?

BERITA HARIAN 16/10/06
Pemuda maut ditikam gaduh kerana mercun
Oleh Hussain Said dan Jaafar Mulup

Kejadian berpunca akibat perselisihan faham dengan dua lelaki

GEMAS: Seorang pemuda maut ditikam dengan senjata tajam, manakala abangnya cedera dalam pergaduhan dengan dua lelaki di Ulu Ladang, dekat sini malam kelmarin akibat perselisihan faham ketika bermain mercun.

Mohd Khairil Mohd Nor (gambar), 26, dari Kampung Bangka Hulu, dekat sini meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi semalam ketika dalam perjalanan ke Hospital Muar selepas cedera parah ditikam di belakang badannya.

Mangsa yang bekerja kampung sebelum itu dirawat di Hospital Segamat bersama abangnya, Mohd Azli, 27, tetapi kemudian dia dipindahkan ke Hospital Muar.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, berkata dua malam lalu mangsa dikatakan bertengkar dengan seorang daripada suspek yang memarahi tindakannya membakar dan membaling mercun ke rumah suspek.

"Bagaimanapun, mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati bersama abangnya sekali lagi pergi ke rumah suspek kira-kira jam 9.30 malam semalam (kelmarin).

"Adik beradik itu dikatakan bertengkar dengan suspek dan seorang lagi rakannya berusia 70 tahun sebelum berlaku pergaduhan.

"Dalam pergaduhan dua lawan dua itu, mangsa cedera parah ditikam, manakala abangnya cedera pada anggota badan," katanya.

Zull Aznam berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Indonesia berumur 42 tahun yang memasuki negara ini menggunakan visa pelancong dan sudah berkahwin dengan sepupu mangsa.

Lelaki terbabxt yang mempunyai lima anak ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita juga sedang memburu rakan suspek yang melarikan diri selepas kejadian. Kita belum menemui senjata tajam yang digunakan dalam pergaduhan itu,' katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Nor Majid, 51, berkata beliau sendiri tidak pasti siapa yang bermain mercun dan punca sebenar pergaduhan yang mengorbankan nyawa anak bongsu tiga beradik itu.

"Saya dimaklumkan Azli cuba bertanya kepada lelaki itu sama ada mercun itu terkena kaki anak lelakinya akibat kejadian dua hari lalu.

"Bagaimanapun, meletus pergaduhan menyebabkan Khairil cuba meleraikannya sehingga dia ditikam," katanya yang mendakwa tidak pernah melihat Khairil bermain mercun sebelum ini.


1 comment:

  1. Walaupun aku yang masukkan petikan tentang mercun ni, aku sendiri mau ingatlah tentang buruk dan baiknya. Pandai2lah jaga diri.

    ReplyDelete