Monday, November 2, 2009

Kewajipan Tajwid Dalam Bacaan Al Quran

Timbul pendapat yang meragui kewajipan tajwid dalam Al Quran. Dan apakah dalil yang dapat menolak pendapat tersebut? Berikut disenaraikan hujah-hujah yang menolak dakwaan tersebut.

Hukum Mempelajari Tajwid Secara Ilmiah dan Amaliah

Perbincangan tentang hukum mempelajari tajwid sama ada ilmiah atau amaliah
akan dihuraikan berdasarkan kepada nas-nas Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW dan juga pandangan ulama.

(a) Hukum mempelajari tajwid secara ilmiah atau teori iaitu berkaitan dengan penamaan hukum dalam tajwid seperti izhar, idgham, ikhfak, iqlab, mad wajib, jaiz dan seumpamanya telah ijma` ulama ia adalah fardu kifayah. Maksudnya jika sebahagian umat Islam di sesuatu tempat telah mengetahuinya maka mereka semua terselamat daripada dosa.

(b) Hukum mempelajari tajwid secara amali atau praktikal adalah fardu ain kepada setiap muslim yang membaca al-Quran mengikut kemampuannya yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Antara ulama yang mengatakan ia adalah fardu ain ialah al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jazari, Abu Abdillah Nasr ibn al-Syirazi, al-Sayuti, al-Qistalani, Makki Ibn Abi Talib dan lain-lain. Mereka semua berhujah dengan nas-nas berikut antaranya dalil dari Al Quran: (i) Firman Allah Taala: ورتل القرءان ترتيلاً
Maksudnya: "Dan bacalah al-Quran dengan secara tartil". (Surah al-Muzammil: 4)

Bentuk hujahan dalam ayat ini ialah penggunaan kalimah ورتل iaitu dengan kata kerja arahan. Dan setiap arahan Allah SWT adalah wajib.Dengan ini thabitlah bahawa tartil kitab Allah s.w.t adalah wajib. Dikuatkan lagi dengan huraian makna tartil yang dikemukakan oleh Ali Ibn Abi Talib r.a iaitu memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui waqaf.

ii) Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, Maka mereka itulah orang-orang yang rugi”. (Surah al-Baqarah: 121)

Bentuk hujahan dalam ayat ini ialah, Allah SWT telah menyifatkan kepada orang-orang yang dianugerahkan al-Kitab dengan sifat pujian. Mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan. Hak tilawah mempunyai makna yang umum, termasuk di dalamnya yang pertama ialah memperelokkan tartilnya, menghafaznya, beramal dalam bentuk yang sempurna. Perkara yang tidak syak lagi ialah bentuk bacaan al-Quran adalah sama dengan bentuk penerimaannya daripada Jibril a.s Maka sudah tentu ia wajib.

(iii) Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami (Allah) telah bacakan (Al Quran itu) kepada (Muhammad SAW) secara Tartil (bertajwid)”

Adapun dalil dari As Sunnah adalah seperti berikut:

(i)Hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A. apabila beliau ditanya bagaimanakah bacaan Rasulullah SAW, maka katanya:
فقال كانت مداّ ثمّ قرأ (بسم الله الرحمن الرحيم) يمدّ ببسم الله ويمدّ بالرحمن ويمدّ بالرحيم

Maksudnya: “Adakah bacaan Rasulullah SAW itu panjang, kemudian (Anas menunjukkan bacaan Baginda) membaca (بسم الله الرحمن الرحيم) dengan memanjangkan بسم الله dan memanjangkan الرحمن dan memanjangkan الرحيم (Hadis 4658 dari Sahih Al Bukhari).

Dalil dari Ijma` Ulama

Para ulama sepanjang zaman sejak dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang telah bersepakat menyatakan bahawa membaca Al Quran secra bertajwid hukumnya adalah fardhu dan wajib. Pengarang Kitab Nihayah menyatakan: “Sesungguhnya telah Ijmak (sepakat) semua imam, dari kalangan ulama yang dipercayai, bahawa Tajwid adalah suatu yang wajib sejak zaman Nabi SAW lagi sehinggalah sekarang dan tiada seorang pun yang mempertikakan kewajiban ini” (Al Juraisi, Muhammad Makki Nasr, Kitab: نهاية قول المقيد m.s.11)

Imam Ibnu Jazari pula menyatakan dalam puisi kitabnya (Matan Al Muqaddimah oleh Imam Al Jazari baris ke 27 – 29):
والأخذ بالتجويد حتم لازم من لم يجود القرءان ءاثم
Mengamalkan tajwid itu suatu kewajiban
Kerana berdosa tidak mengelokkan bacaan
لأنه به الإله أنزلا وهكذا منه إلينا وصلا

Kerana Al Quran itu turunnya dari Tuhan
Dan begitulah kepada kita sampainya bacaan
وهو أيضا حلية التلاوة وزينة الأداءوالقرءاة
Tajwid juga perhiasan bacaan
Dan hiasan sebutan dan bacaan
Dali-dalil di atas jelas menunjukkan keutamaan membaca Al Quran dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan kepada Rasulullah SAW. Pembacaan Al Quran itu adalah semestinya dipelajari dan diambil daripada orang yang ahli tentangnya, tidak memadai mengambilnya dengan perantaraan pembacaan buku semata-mata. Ini adalah kerana, ada perkara-perkara tertentu yang hanya dapat dikuasai kemahirannya dengan mengambilnya dari sebutan guru-guru yang berkeahlian seperti sebutan raum, isymam, tashil dan lain-lain.

Adalah sesuatu yang mustahil dan tidak dapat diterima oleh akal bahawa Rasulullah SAW tidak membaca Al Quran dengan tajwid yang betul atau para sahabat pula telah menyelewengkan bacaan yang mereka terima daripada Rasulullah SAW, maka apakah alas an yang boleh diterima untuk membenarkan seseorang itu membaca Al Quran tanpa bertajwid sebagaimana ia diturunkan?

No comments:

Post a Comment