Monday, November 2, 2009

Sejarah Perkembangan Tajwid

Dari sejarah pula perkembangan ilmu tajwid bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi, di mana mengikut sejarah, Rasulullah menerima wahyu dari Jibril sudah pun dengan bertajwid, Cuma pada masa itu tidak ditekankan hukumnya dengan terperinci dan dibukukan. Orang yang mula-mula sekali membukukan ilmu ini ialah Imam Al-‘Azim Abu Abid Qasim bin Salam pada kurun yang ke 3 Hijrah. Manakala ada pendapat lain pula mengatakan orang yang mula-mula membukukan ilmu ini ialah Hafs bin ‘Umar al-Duri.
Ilmuan sejarah juga menyatakan perkembangan ilmu tajwid di zaman Rasulullah SAW seiring dengan perkembangan ilmu-ilmu lain. Walaupun begitu, seluruh hukum yang berkaitan seperti hukum nun sakinah, mim sakinah, mad, waqaf dan sebagainya belum dinamakan dan dibukukan.

Penulisan dalam ilmu tajwid sejak dulu dan sekarang tidak begitu banyak. Punca utama ialah kerana perbahasan ilmu itu sendiri yang tidak begitu meluas dan kandungan babnya tidak banyak. Selain dari itu ia lebih tertumpu kepada latihan amali dan jarang sekali didapati ia diajar dalam bentuk kuliah dan perbincangan hukum semata-mata.

Kitab yang pertama dalam ilmu tajwid ialah dalam bentuk nazam (syair). Ia telah dihasilkan oleh Abu Mazahim al-Khaqani yang wafat pada tahun 325 hijrah iaitu di akhir kurun yang ke 3 hijrah. Nazam tersebut dianggap yang terawal dalam ilmu tajwid.
Di Malaysia, sejarah perkembangan ilmu tajwid adalah selari dengan sejarah perkembangan Islam. Mengikut pendapat ahli sejarah, Islam mula bertapak di Malaysia pada abad ke 15 di mana Melaka telah muncul sebagai pusat perdangangan yang penting di Asia Tenggara. Para pedagang termasuk pedagang Arab telah datang ke Melaka untuk berdagang. Di samping berdagang, mereka juga cuba menyebarkan Agama Islam. Mengikut sejarah Melayu, Raja Melaka yang pertama iaitu Parameswara telah diIslamkan oleh Sheikh Abdul Aziz dari Mekah pada tahun 1414 yang kemudiannya berkahwin dengan puteri Islam dari Pasai. Melalui perkembangan Islam inilah, para mubaligh dari Arab telah mengajar al-Quran dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sunnah Nabi.

Di dalam pengajaran al-Quran, ilmu tajwid diberi penekanan yang serius agar pembacaan umat Islam betul dan mengikut apa yang telah disunahkan oleh Rasulullah. Usaha mengajar al-Quran dijalankan melalui madrasah-madrasah, rumah-rumah individu (tok imam) dijalankan oleh para mubaligh dari negeri Arab. Mereka menjalankan pengajian al-Quran secara bersemuka bertujuan orang yang diajar dapat membaca al-Quran dengan bertajwid. Dari sinilah bermulanya perkembangan ilmu tajwid di Malaysia.

Pada peringkat awal ramai mubaligh asing terutama dari arab dan India datang ke Melaka untuk menyebarkan dakwah islam. Setelah beberapa lama lahirlah pula para mubaligh yang terdiri dari anak-anak tempatan Melaka. Mereka inilah yang meneruskan perjuangan menyebarkan islam dan pembacaan al-Quran bertajwid kepada penduduk-penduduk tempatan dan negeri-negeri lain di persekitaran. Konsep dakwah yang disarankan oleh islam turut mempengaruhi faktor penyebaran Islam (Al-Quran dan Syariat Islam). Setiap individu islam bertanggungjawab menyampaikan ajaran ini kepada orang lain, telah menyebarluaskan lagi islam di Malaysia.

Sejarah juga menyatakan bahawa Islam sampai ke Kedah pada 291 H (903 M) dengan penemuan batu nesan tertua di Tanjung Inggeris. Di negeri Kelantan pula pada tahun 577H (1181 M) dengan penemuan dinar emas di Kota Kubang Labu, Tumpat. Penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada 702H (1302M) membuktikan bahawa negeri Terengganu juga menerima Islam. Ini kerana diyakini oleh ahli sejarah Islam bahawa perkembangan pengajian al-Quran dan tajwid juga bermula dari tarikh dan tempat tersebut.

Mengikut sejarah perkembangan ilmu tajwid, penyusun ilmu tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu adalah seorang ulamak yang bernama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al- Kalantani. Asal usulnya tidak diketahui tetapi mengikut sejarah nama di akhir adalah al-Kalantani, berkemungkinan beliau berasal dari Kelantan.( nama ini terdapat dalam sebuah buku karya beliau ). Berdasarkan kepada bukunya mengenai ilmu tajwid, yang bertajuk “ Mir’atul Quran fi Tashili Ma’rifati Ahkamit Tajwid lil Mulkil Wahhab” dihasilkan pada tahun 1193H bersamaan 1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu itu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Beliau juga telah mengambil kitab tafsir Bahasa Melayu “Turjumanul Mustafid”, Karya Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu. Buku ilmu tajwid karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti ini telah disalin semula oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu bermula pada tahun 1235H (1819) dan disiapkan pada tahun 1265H bersamaan 1848M. (mengambil masa sekitar 42 tahun untuk menyiapkannya).

Terdapat juga beberapa orang ulamak dari kerajaan Sambas, Indonesia yang telah menulis ilmu tajwid dalam versi Melayu, diantaranya ialah Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas, yang telah menulis beberapa buah buku termasuklah ilmu tajwid tetapi tidak dinyatakan tarikhnya. Kandungannya membincangkan ilmu tajwid secara lengkap untuk peringkat asas (Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd Shaghir Abdullah, internet 5 May 2008 - Isnin ). Seorang lagi Ulamak Sambas yang menulis tajwid ialah Haji Mohd Yasin bin Al-Haji Muhammad Sa’ad Sambas di mana buku tajwid yang ditemui di karang oleh beliau ialah “ Ilmu Tajwid”. Buku ini diselesaikan di Mekah, Waktu Dhuha, hari Sabtu bersamaan 20 Syawal 1285H. Kandungannya menjelaskan tentang ilmu Tajwid al-Quran. Pada bahagian awal ditulis dalam Bahasa Arab yang diberi makna dalam bahasa Melayu. Bahagian kedua semuanya menggunakan bahasa Melayu. Manuskrip ini diperolehi di Pontianak, Kalimantan Barat. Ia pernah dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh Perolehan ialah pada 11 Rabiulawal 1423H hari Jumaat bersamaan 24 Mei 2002M.

No comments:

Post a Comment