Saturday, September 12, 2009

Pasang pelita sambut tujuh likur amalan bidaah?

APAKAH pandangan agama mengenai amalan memasang pelita bagi menyambut malam tujuh likur yang lebih bersifat budaya.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan perkara yang baru dalam urusan agama sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Walaupun sejarawan dan budayawan menjelaskan perkara ini lebih bersifat budaya, persoalannya mengapakah tradisi ini terbatas pada Ramadan saja. Ada sebab tertentu yang menjadikan masyarakat mengamalkan sesuatu budaya.

Contohnya, pesta menuai diadakan untuk merai roh petani yang mengajar hidup berdikari atau untuk penguasa yang menjaga kepentingan petani.

Hujah makhluk halus menjaga hasil tanaman tidak boleh diterima akal. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 106 bermaksud: “Dan (orang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mempersekutukan-Nya dengan yang lain.”

Mentafsirkan ayat ini, Hammad Salamah meriwayatkan daripada ‘Asim Abinnujud keprihatinan sahabat kepada syirik menjadikan mereka merungkaikan perkara itu walaupun kurang disenangi.

Contohnya, Huaifah yang menziarah seorang yang sakit lalu mendapati dia memakai tangkal kulit. Huzaifah memotongnya lalu membacakan ayat ke-106 surah Yusuf ini.

Umat harus menyedari Islam yang menjadi pegangan sudah sempurna dengan turunnya ayat ketika hajjatul wada iaitu firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke-3 bermaksud: “Pada hari ini, Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya: “Kesempurnaan Islam bermaksud umat tidak memerlukan kepada penambahan dalam ibadat dan mereka tidak memerlukan kepada sesiapa pun melainkan petunjuk Nabi Muhammad SAW.

“Tiada lagi suatu yang halal selain dihalalkan Islam dan tiada yang haram selain diharamkan Islam, dan tiada penambahan terhadap apa yang sudah disyariatkan.” (Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir).

Berbalik kepada soalan anda, menyalakan pelita pada malam likur ini tiada asasnya dalam sunah Nabi apatah lagi ayat al-Quran. Umat Islam dinasihat meninggalkan amalan sia-sia ini kerana bukan saja membazir, malah membuang masa sehingga menjejaskan penumpuan kepada amal salih yang perlu diutamakan.

No comments:

Post a Comment