Thursday, September 3, 2009

Soalan UPSR 2009 Bocor?

Soalan peperiksaan UPSR bocor lagi. Kali ini seorang lelaki yang mengakui dirinya seorang guru mendakwa mendapat soalan Bahasa Malaysia and Matematik bocor. Belia mendapat soalan tersebut sebelum peperiksaan dijalankan. Ada juga laporan mengatakan bahawa soalan-soalan diperolehi dengan mudah di negeri Kedah sehingga guru-guru mengumpul pelajar untuk membuat latihan terakhir.

Adakah dakwaannya itu benar? Bagi saya besar kemungkinan ianya benar. Sudah banyak kali soalan peperiksaan pada pelbagai peringkat bocor. Sayangnya tidak ada tangkapan, hukuman atau penyelesaian yang sebenar dilakukan setakat ini.

Seperti biasa, banyak janji daripada kerja. Kita tunggu dan lihat apa akan jadi pada kesudahannya kali ini. Ini saja yang mampu kita lakukan sebagai seorang rakyat biasa, ibu bapa, guru dan pelajar.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Dato' Hj. Alimuddin b. Hj. Mohd Dom dilaporkan meminta orang yang mempunyai maklumat soalan bocor supaya memberikan maklumat kepada beliau. Beliau yang kelihatan seolah-olah merayu mengatakan maklumat ini akan membuatkan kerja penyiasatannya menjadi lebih senang.

Yang sepatutnya kalau ada orang yang mendapati ada soalan bocor mereka seharusnya memaklumkan kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Kementerian Pelajaran. Pada hakikatnya tidak ramai yang sanggup berbuat demikian. Yang mereka disangsikan ialah apakah tindakan akan diambil atau apakah laporan secara senyap-senyap akan diketahui orang ramai? Apatah lagi ini berkaitan dengan kewibawaan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kita sering kali mendengar pemimpin naik angin kerana laporan negatif sampai kepada media terlebih dahulu sebelum kepada pihak yang sepatutnya. Maka kita diminta laporan dibuat supaya melalui saluran yang betul. Penghebahan kepada media sering dipersalahkan dan sekaligus melupakan isu yang sebenar. Pembawa berita sering kali dipersalahkan.

Pengalaman memberitahu kita bahawa ramai orang membuat aduan dan laporan yang betul tetapi jarang dilayan dengan baik. Malah dalam banyak kes orang yang berniat baik yang pergi membuat aduan dipersulitkan. Banyak soalan yang bukan-bukan dikemukakan seolah-olah pengadu disoal siasat seperti pesalah. Kita juga banyak mendengar laporan yang penuh dengan bukti kukuh tidak diambil endah dan terbiar begitu sahaja buat bertahun-tahun lamanya.

Dengan pengalaman sedemikian, tidak ramai orang yang sanggup tampil ke hadapan untuk menegakkan keadilan. Kini semua orang sudah pandai mengambil jalan pintas yang jauh lebih berkesan. Mereka lebih suka menghebahkannya kepada media dan nampaknya pihak media lebih bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya mereka memegang janji mereka dengan tidak mendedahkan identiti pelapor yang sebenar.

Nampaknya juga, saluran membuat aduan melalui media jauh lebih berkesan daripada membuat aduan melalui saluran yang dikehendaki. Apabila satu negara sudah tahu akan berlakunya kebocoran soalan peperiksaan, mahu tidak mahu orang yang berwajib terpaksa menjawab dan terpaksa mengarahkan pihak tertentu untuk membuat siasatan. Maka kita dengar janji dibuat untuk mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya.

Yang menarik pada peristiwa soalan UPSR bocor kali ini ialah ia telah dibahaskan dengan begitu cepat di Dewan Rakyat. Cuma yang kita rasa terkilan ialah perbahasan yang dilakukan secara sepontan. Pandangan dan cadangan yang diberikan oleh ahli dewan juga bersifat sepontan dan tidak mendalam atau menyeluruh.

Contohnya seorang ahli dewan mencadangkan supaya sistem peperiksaan dibatalkan dan digantikan dengan sistem mata. Sistem peperiksaan sekarang dikatakan sebagai penyebab kepada kebocoran. Mungkin ada benarnya tetapi adakah ada sistem lain yang boleh mengukur dan mengetahui pencapaian pelajar dengan lebih baik? Adakah sistem mata yang dicadangkan dapat digunakan untuk mengukur tahap pencapaian pelajar dengan berkesan? Sejauhmana sistem ini dapat mengatasi masalah soalan bocor tidak pula dihubung kaitkan.

Pada tanggapan umum perbahasan seperti itu hanyalah peluang untuk mendapat publisiti. Dalam keghairahan kita untuk untuk membincangkan sesuatu masalah kita berlumba-lumba merebut peluang dalam perbahasan. Kita tidak sedar apa yang kita bincangkan itu sama ada bermanafaat atau tidak. Apakah tidak boleh, kalau memang kita ikhlas hendak menyelesaikan masalah, perbincangan dan perbahasan yang mendalam dibuat dengan persediaan yang cukup dan bukannya pakai tangkap muat sahaja. Akhirnya kita dilihat sebagai melatah dan celupar. Kalau kesilapan kita ditonjolkan dalam media maka cepat-cepatlah kita menafikannya dan mengatakan media tersilap petik.

Apa yang berlaku sekali lagi membuktikan kepada kita bahawa kita terlampau asyik hendak bercakap tetapi ternyata salah tembak. Kita tidak sedar apa yang sepatutnya dibincang dan dibahaskan. Masalah yang berlaku ialah soalan bocor. Yang kita mahu tahu bagaimana soalan itu bocor dan bagaimana cara untuk mengelakkan ia daripada terus berlaku.

Apa pula kena mengena dengan sistem peperiksaan yang hendak diubah? Bukankah ini masalah pengawalan dan tanggungjawab? Apakah kerana rumah dimasuk pencuri maka kita akan merobohkan rumah kerana mendakwa rumah kita baik? Atau kita seharusnya berpindah dan menetap di tempat lain yang lebih selamat? Apakah bumbung parlimen yang bocor atau bangunan kerajaan baru yang bocor maka kita hendak merobohkan bangunan tersebut?

Semasa anak-anak kita sedang menduduki peperiksaan di sekolah kita sepatutnya sedar bahawa markah hanya akan diberi jika kita memberikan jawaban yang betul. Jawaban yang betul bermaksud menjawab seperti yang dikehendaki soalan. Kita jawab soalan mengikut arahan yang diberikan dalam kertas peperiksaan. Ringkasnya jawab apa yang ditanya bukan cakap tidak menentu pasal.

Kalau orang bertanya kepada kita sama ada kita sudah makan atau belum, jawablah sudah makan atau belum. Jangan pula jawab kita baru balik dari pasar. Mungkin kita makan di pasar tetapi itu bukan cara kita jawab soalan. Kalau memberi jawaban biarlah tepat dan jangan berputar-putar dan berbelit-belit. Ular sawa yang pandai berbelitpun kadang-kadang menjadi mangsa belitannya sendiri. Masakan kita hendak berlawan dengan ular?

Oleh itu, jika kita memang ikhlas dan bersungguh-sungguh hendak menyelesaikan masalah soalan bocor pada apa peringkat sekalipun, kita hendakkan fokus pada masalah yang sebenar. Jangan salahkan pengadu dan jangan salahkan sistem peperiksaan secara keseluruhan. Kita seharusnya tahu bagaimana soalan dibina, disimpan, dicetak, diedar dan akhirnya sampai kepada tangan pelajar yang menduduki peperiksaan. Di sinilah letaknya nadi kepada kebocoran.

Kalau ada kebocoran tentu sekali ada kecuaian di mana-mana atau ada orang dalam yang membelot. Kalau kecuaian itu disegajakan itu bermakna orang yang dipertanggungjawabkan tidak amanah. Kalau orang yang tidak amanah berada dalam Lembaga Peperiksaan Malaysia maknanya pemilihannya bermasalah. Kita sudah memilih orang yang tidak beramanah. Kita sengaja menjemput masalah. Inilah yang dikatakan harapkan pagar, pagar makan padi.

Kalau kita memilih musang untuk menjaga ayam jangan harap ayam kita selamat. Kalau kita memilih pencuri sebagai pengawal keselamatan jangan harap harta benda kita akan selamat. Kalau penyamun dijadikan polis atau askar, apa kesudahannya?

Oleh itu, penyiasatan janganlah tertumpu sekadar hendak mendapat siapakah yang membocorkan soalan tetapi harus diselidiki secara mendalam siapakan yang membenarkan kebocoran ini berlaku. Kalau kawalannya ketat, rapi dan teliti tidak mungkin kebocoran akan berlaku.

Kebanyakan kes ragut dan kecurian berlaku kerana kita cuai, atau segaja tidak mahu menjaga keselamatan diri kita atau harta benda kita. Kita tidak ambil endah terhadap nasihat polis. Jika kita sengaja menayangkan kekayaan kita atau memberi peluang mudah kepada orang lain untuk mencuri, meragut atau merompak, kemungkinan besar ragut, curi dan rompak akan berlaku.

Jika sistem kawalan kita longgar dan kawalan itu sendiri banyak kebocoran maka lambat laun kecurian atau kebocoran soalan akan berlaku. Kita sendiri yang menyediakan peluang kepada mereka yang berkepentingan. Orang yang berkepentingan hanya menunggu masa sahaja untuk memulakan operasinya.

Bagi orang yang bekerja di ladang dengan pekerja yang ramai, waktu pembayaran gaji tidak pernah tetap. Wang gaji untuk pekerja setiap bulan boleh sampai berpuluh ribu. Kadang-kadang pekerja dibayar pada awal bulan. Kadang-kadang mereka dibayar pada hujung bulan. Ini bukan kerana majikan mereka tidak menepati janji tetapi ia adalah satu cara untuk mengelakkan mereka daripada dirompak malah dibunuh.

Dengan sengaja waktu pembayaran gaji tidak dimaklumkan terlebih awal mereka mengurangkan risiko daripada dirompak kerana perjalanan mereka tidak dapat diduga. Jika waktu pembayaran gaji adalah tetap tidakkah ada di antara pekerja yang akan merancang untuk merompak dan menjadi kaya serta merta daripada mambanting tulang empat kerat untuk mendapat gaji harian yang sedikit?

Jika sistem binaan soalan, percetakan, simpanan, kawalan dan penghantaran soalan masih sama seperti dahulu kala biarpun kita sudah 50 tahun merdeka, maka kebocoran akan berlaku dan terus berlaku. Setiap gerak-geri sudah dijangka dan diduga sama seperti kesudahan drama televisyen murah. Kalau inilah yang berlaku maka kita sememangnya menjemput dan menunggu waktu dan ketikanya untuk soalan peperiksaan bocor lagi.

Kalau kita hendak meningkatkan prestasi dan pencapaian pelajar, kita sepatutnya menjaga dan memastikan sistem penilaian kita benar-benar boleh diyakini dan dipercayai. Dengan ini pengukuran dan penyukatan yang dibuat akan mendapat pengiktirafan. Pelajar-pelajar dan guru-guru mahupun ibu bapa akan merasai berbaloi bekerja keras untuk mendapat pencapaian keputusan yang baik.

Kalau kita ada menyaksikan persembahan sempena perayaan Hari Kemerdekaan ke-50 yang lalu kita tentu sekali kagum bagaimana beribu-ribu pelajar dapat menari dan membentuk corak yang begitu indah yang mereka sendiri tidak dapat melihatnya. Kita pasti kagum dengan mereka yang terlibat di belakang tabir yang melatih pelajar-pelajar ini secara berasingan pada peringkat permulaan dan akhirnya dapat digabungkan dan menjadi satu persembahan yang begitu menarik.

Kalau tidak ada satu sistem latihan yang sama masakan tarian itu dapat dihasilkan daripada beribu-ribu pelajar yang berasal daripada sekolah-sekolah yang berbeza. Kalau bukan kerana mereka yang terlibat melakukan segala yang mungkin untuk memberikan persembahan yang terbaik masakan kita dapat menyaksikan sesuatu yang membuatkan kita bangga?

Dalam erti kata yang sama jika kita semua orang yang terlibat tidak melakukan yang terbaik dalam menjayakan peperiksaan yang melibatkan begitu ramai pelajar dari seluruh negara apalah ertinya wang riggit, masa dan tenaga yang dikorbankan oleh pelajar-pelajar, guru-guru, pegawai-pegawai, pekerja-pekerja, ibu bapa dan ramai lagi?

Kalau mulut kita bocor, tangan kita bocor, hati dan pemikiran kita bocor, bagaimana kita hendak mengatasi masalah soalan yang bocor? Seharusnya kita tampal dahulu kebocoran di mulut kita, tangan kita, hati kita dan pemikiran kita. Kebocoran pada diri kita tidak memerlukan wang ringgit. Semuanya percuma asalkan kita mahu.

Kalau soalan PMR, SPM dan STPM nanti turut bocor, tahulah kita di mana bocor terlebih dahulu.


http://cikgulee.blogdrive.com

No comments:

Post a Comment